Inklusiviti dan Pemerkasaan: Menyantuni OKU, Anak Yatim dan Golongan Lemah dalam Masyarakat Islam dan UiTM
Title
Subject
Description

Salam Jumaat,
Islam menjamin kedudukan dan cara pelayanan terhadap OKU, anak yatim dan orang miskin. Dalam pendekatan inklusiviti, UiTM telah menerima masuk pelajar OKU teramai dalam negara dan memberi peluang pendidikan tinggi hingga mereka berjaya, insya-Allah.
Sebagai ahli Persatuan Dyslexia seumur hidup, kami amat faham cabaran yang dilalui oleh mereka dengan ketidakupayaan pembelajaran (Learning Disability) seperti Disgrafia, Diskalkulia, ADHD dan NLD, ditambah lagi neurodevelopmental disorder yang lain seperti Autistic (ASD).
Hanya mereka atau ada ahli keluarga yang mengalaminya faham tentang kesukaran dan cabaran menjalani kehidupan, kerana kita sering dilihat biasa secara fizikal tetapi ada kekurangan yang tidak nyata. Sering tersalah anggap oleh orang keliling, malahan oleh guru sebagai lembab, lembam, malas, tak fokus, tulisan tak cantik, cakar ayam… manakala yang mengalami kekurangan fizikal mempunyai cabaran yang unik juga, terkadang diuji bertimpa, kekurangan fizikal beserta ketidakupayaan pembelajaran.
Allah Maha Kaya, merezekikan kelebihan atas kekurangan, walau mata tidak boleh melihat, jari jemari mampu membaca, walau tidak boleh fokus, mampu mengingat dengan dilihat sekali imbas, mampu diingat dengan sekali dengar…
Kita sering beranggapan mereka menumpang rezeki kita, tetapi pada hakikatnya, kita yang menumpang rezeki mereka.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ:
«هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ»
(رواه البخاري، رقم 2896)
Rasulullah ﷺ bersabda: “Kamu tidak akan mendapat pertolongan dan rezeki melainkan kerana (doa dan keberkatan) orang-orang lemah di kalangan kamu.”
Untuk bereaksi negatif kita ditegah, malah Nabi SAW diingatkan Allah, layanilah semuanya sebaik mungkin, memberi ruang dan peluang sebaik mungkin.
عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ أَنْ جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكْرَىٰ
“Dia (Nabi ﷺ) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang kepadanya seorang buta. Dan tahukah engkau (wahai Muhammad), barangkali dia ingin membersihkan dirinya (daripada dosa), atau dia ingin mendapat peringatan yang bermanfaat baginya.” (‘Abasa 1–4)
فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ
“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, dan terhadap orang yang meminta-minta janganlah engkau mengherdik.” (Ad-Duḥā 9–10)
UiTM dalam usaha keterangkumannya minggu lalu telah menganjurkan International Summit on Disability-Inclusive Futures 2025, “Creating a Disability-Inclusive World: Bridging Innovation, Rights, and Empowerment.” Ia bukan sekadar sebuah persidangan, ia adalah pergerakan untuk mentakrifkan semula masa depan melalui inklusiviti, pemerkasaan, dan inovasi.
Sukarelawan dari kalangan pelajar juga adalah pelajar OKU, mengalunkan ayat Quran, membaca doa, malah persembahan kebudayaan, termasuk usahawan yang berniaga. Mereka hanya perlukan peluang dan ruang.
Terima kasih kepada Penaja Utama AEON Mall Shah Alam.
Terima kasih atas kehadiran YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, menyempurnakan perasmian penutup.
“Let’s shape a future that includes everyone. Be there. Be inspired. Be part of change.”