GELARAN PROFESOR EMERITUS KEPADA TAN SRI SAHOL HAMID
Title
Description
Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar merupakan individu yang cukup sinonim dengan Universiti Teknologi MARA. Inisiatif beliau dalam memperjuangkan pendidikan anak Melayu dan Bumiputera yang tercicir kerana kemiskinan masih diteruskan sehingga hari ini. Umum sedia maklum bahawa beliau ialah Naib Canselor UiTM yang ketiga. Selain berkhidmat dalam bidang pentadbiran dan akademia, beliau ternyata telah banyak memberi sumbangan tenaga dan kepakaran dalam bidang pengurusan sumber air dan kejuruteraan hidraulik. Bahkan, sejak tahun 2001 hingga kini, beliau telah dilantik sebagai profesor pakar di University of Stuttgart, sebuah universiti yang tersohor di Jerman. Selama 15 tahun menyumbang tenaga dan kepakaran, beliau telah dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Awam oleh universiti tersebut. UiTM turut berbangga kerana beliau adalah satu-satunya ilmuwan dari luar benua Eropah dan anak Melayu pertama yang telah mendapat pengiktirafan berprestij itu. Aspirasi beliau dalam menaik taraf pendidikan Melayu dan Bumiputera turut diiktiraf dan diperkukuh apabila YAB Perdana Menteri Malaysia telah melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumputera Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam.