Umrah dan Ziarah Haramain 1447H - Menyulam Ibadah, Ilmu dan Jalinan Strategik Antarabangsa
Title
Description

Alhamdulillah, melengkapkan Program Umrah dan Ziarah Haramain UiTM 1447H/2025M anjuran ACIS bersama 34 orang staf dan keluarga.
Syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan ini. Dalam menyempurnakan umrah, kami juga berziarah ke Taif, mengambil ibrah kisah Nabi SAW dalam perjuangan dakwahnya — menyangka kampung tempat ibu susuannya akan menerima baginda, namun dilayan sebaliknya.
Mengenang juga seorang tokoh ilmuwan besar dalam Islam, Abdullah bin Abbas r.a., antara pesan penting Rasulullah SAW kepada beliau:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنه قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ ﷺ يَوْمًا فَقَالَ:
«يَا غُلَامُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ:
احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ،
احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ،
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ،
وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ،
وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ،
وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ، لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ،
رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ».
(Riwayat al-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih)
Ibnu ‘Abbas berkata:
Aku pernah berada di belakang Nabi ﷺ pada suatu hari, lalu baginda bersabda:
“Wahai anak muda, aku akan ajarkan kepadamu beberapa kalimah:
• Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memeliharamu.
• Peliharalah (hukum) Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu.
• Apabila engkau meminta, mintalah kepada Allah.
• Apabila engkau memohon pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.
• Ketahuilah, jika seluruh umat bersatu untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu.
• Dan jika mereka bersatu untuk memudaratkanmu, mereka tidak akan mampu melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu.
Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (yakni takdir telah ditulis).”
Hadis ini menjadi asas tauhid, tawakal, dan keyakinan terhadap qada’ dan qadar, dan perlu disemai, dipupuk, diasuh serta dididik sejak kecil.
Antara perkongsian kami dalam permusafiran ini — Alhamdulillah, direzekikan membuat perkongsian ilmu sepanjang program umrah, berkongsi pengalaman dari kami yang faqir, mengingat dan melaksana pesan Nabi SAW untuk "menyampaikan walau satu ayat."
Dalam kesibukan melaksanakan ibadah umrah dan ziarah, kami sempat ke Universiti Umm Al-Qura (UQU), Makkah, atas inisiatif Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani yang juga mantan Dekan ACIS.
Di Umm Al-Qura, kami bertemu dengan Pengarah Wadi Makkah, pusat inovasi dan keusahawanan UQU, Syeikh Abdullah Bawazir, CEO IQRA Al-Arabiyah Universiti Umm Al-Qura yang berperanan penting dalam menghubungkan akademia dengan industri.
Pertemuan ini memberi fokus kepada usaha memperkasa penguasaan bahasa Arab dalam kalangan warga UiTM, selain membuka ruang penerokaan inovasi berasaskan teknologi. Wadi Makkah merupakan usaha UQU membangunkannya sebagai "Silicon Valley" Arab Saudi — lembah inovasi dan teknologi untuk negara itu.
Semasa di Madinah, kami juga berkesempatan berkunjung ke Universiti Islam Madinah al-Munawwarah bagi membincangkan peluang kerjasama akademik, pertukaran pelajar, serta penganjuran program ilmiah bersama yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan akademik UiTM.
Semoga Allah menerima amal kita semua dan membantu melonjakkan UiTM ke persada dunia, āmin.
Usaha meletakkan kembali fokus kepada pengantarabangsaan, khususnya untuk diaspora Melayu dan negara Islam, seperti ketetapan KPT terdahulu.
Globally Renowned, Locally Rooted
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا
#vcuitm7
#GRU2025
#Merdeka
#MalaysiaMadaniRakyatDisantuni
#MalaysiaMADANI
#UiTMdiHatiku❤️