Program Ziarah Kasih UiTM : Menyulam Prihatin, Menyemai Harapan 

Title

Program Ziarah Kasih UiTM : Menyulam Prihatin, Menyemai Harapan 

Description



Alhamdulillah, pagi tadi bersama YBrs. TNC HEP UiTM menyantuni pelajar baharu, Nurul Insyirah binti Sedek, di Flat Medan Cahaya, Taman Medan, Petaling Jaya, menzahirkan semangat kebersamaan melalui Program Ziarah Kasih dengan menyampaikan sumbangan khas kepada beliau bagi meringankan urusan pendaftaran pengajian di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam.

Anakanda Insyirah adalah anak yatim daripada keluarga penerima bantuan bulanan Zakat Selangor, kematian ayah sejak kecil, dari enam beradik. Tersentuh apabila dimaklumkan adik beliau juga mengambil keputusan untuk berhenti belajar dari sebuah universiti swasta atas kesempitan kewangan dan mahu menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan kaki.

Kami langsung meminta keputusan SPM penuh adiknya untuk memastikan kelayakannya dan menentukan apa program yang sesuai untuk beliau di UiTM. Semoga beliau direzekikan untuk menyambung pengajiannya, insya-Allah, amin.

Inisiatif ini menzahirkan keprihatinan dan usaha berterusan UiTM sejak penubuhannya pada tahun 1956 dalam memastikan tiada pelajar bumiputera ketinggalan menimba ilmu, sekali gus memperkukuh misi universiti sebagai gedung ilmu yang memayungi anak bangsa tanpa mengira latar belakang.

Ibu Insyirah beberapa kali berderai air mata menceritakan kesusahan beliau membesarkan anak dan memastikan kesemua anaknya sampai ke universiti. Dua daripada anaknya juga telah bergraduat dari UiTM dan kini bekerja sebagai wartawan. Kami hanya mampu mendengar dengan empati dan memujuk untuk terus bersabar dan bergantung terus hanya kepada Allah. Sempat pujuk, hari ini mesti senyum, Allah makbulkan doanya dengan menggerakkan kami di UiTM menjejak kaki ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan. Kami sempat berseloroh, mana tahu dalam usaha kerajaan Madani, silap hari bulan PM pun sampai . Terus beliau senyum tanda syukur, Alhamdulillah.

Beliau berasal dari Lipis. Saya tegur, tak bunyi orang Pahang pun... langsung beliau tukar loghat Pahang . Kami sambut kerana kampung kita walau di Johor, banyak guna loghat Pahang. Beliau kata, kalau cakap loghat ni di sini nanti kena baling telur. Saya kata, takkan begitu budaya kita... insya-Allah orang Malaysia cakna dan prihatin. Dan beliau terus berkongsi, kos perubatannya dibiayai oleh seorang usahawan berbangsa Cina. Itulah indahnya Malaysia, negara yang satu-satunya sepertinya... hidup rumpun damai, saling membantu, Alhamdulillah.

Kami turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu Insyirah dan berpesan jangan jemu mengadu kepada Allah dan terus mendoakan anak-anaknya, kerana doa ibu yang kasih, antara doa yang dimakbulkan Allah.

Di akhir ziarah, menyampai pesan kepada anakanda Insyirah untuk belajar bersungguh-sungguh dan semoga bergraduat dengan selimpang, insya-Allah, amin.

HEP akan terus menjejak pelajar yang memerlukan bantuan. Mana-mana pelajar UiTM, baharu atau kanan, yang masih dalam kesempitan untuk meneruskan pengajian, sila berhubung terus dengan unit kebajikan HEP di kampus masing-masing. Seperti saya pesan kepada ibu Insyirah, ini negara kita, Malaysia... kita, bukan melukut di negara orang. Insya-Allah UiTM akan terus mempertahankan peluang pendidikan ini, insya-Allah, amin.

Bagi yang mahu turut membantu dan menyumbang, khususnya Alumni UiTM, boleh berhubung dengan Bahagian ZAWAF UiTM yang telah membantu 14,152 orang asnaf tahun lalu.

Moga Allah ikhlaskan hati kita untuk terus berbuat amal dan memberi khidmat, amin.


Globally Renowned, Locally Rooted

‎دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
‎اوسها تقوى مليا

Date

Language

Malay, English, Arabic

Local URL

https://www.facebook.com/share/p/16FyaiQ26G/

Files

Program Ziarah Kasih UiTM (1).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (2).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (3).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (4).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (5).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (6).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (7).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (8).jpg
Program Ziarah Kasih UiTM (9).jpg

Collection

Tags

Citation

“Program Ziarah Kasih UiTM : Menyulam Prihatin, Menyemai Harapan ,” Minda Naib Canselor UiTM, accessed September 26, 2025, https://mindanc.uitm.edu.my/items/show/1569.

Output Formats