Forum ‘Talk To Us’ YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Suntik Semangat Transformasi Diri dalam Kalangan Mahasiswa Baharu UiTM Sabah
Title
Forum ‘Talk To Us’ YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Suntik Semangat Transformasi Diri dalam Kalangan Mahasiswa Baharu UiTM Sabah
Subject
Forum ‘Talk To Us’, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mahasiswa Baharu, Transformasi Diri, UiTM Sabah, Pendidikan Tinggi, Malaysia MADANI
Description
Perkongsian Ulang Siar:

FORUM ‘TALK TO US’ YB TIMBALAN MENTERI KPT SUNTIK SEMANGAT TRANSFORMASI DIRI DALAM KALANGAN MAHASISWA BAHARU UiTM SABAH

FORUM ‘TALK TO US’ YB TIMBALAN MENTERI KPT SUNTIK SEMANGAT TRANSFORMASI DIRI DALAM KALANGAN MAHASISWA BAHARU UiTM SABAH
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyeru mahasiswa baharu agar tidak melihat diri sebagai warga kelas kedua, sebaliknya yakin bahawa mereka adalah generasi terpilih yang mampu mencipta kecemerlangan serta memacu perubahan negara.
Pesanan penuh inspirasi itu disampaikan dalam Forum “Talk To Us” (TTU) yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah sebagai platform interaktif untuk mendengar dan menjawab suara hati mahasiswa baharu mengenai cabaran awal menyesuaikan diri di universiti.
Forum tersebut dikendalikan sendiri oleh YB Datuk Ts. Mustapha selaku moderator bersama tiga panel jemputan iaitu Azmie Aziz (wakil industri), Farid H. Askali Ibrahim (wakil alumni) dan Mohamad Khuzaimi Majid (wakil pelajar), yang kesemuanya merupakan tokoh inspirasi lahir daripada UiTM.
Program yang berlangsung secara santai namun sarat dengan nilai motivasi itu menjadi wadah perkongsian pengalaman, nasihat dan inspirasi kepada lebih 800 mahasiswa yang baru seminggu memulakan sesi pengajian di UiTM Sabah.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha menegaskan bahawa mahasiswa UiTM Sabah harus berbangga menjadi pewaris legasi perjuangan Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun, tokoh penting yang membawa kepada penubuhan UiTM di Sabah 52 tahun lalu dan seterusnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 1994. “Anda semua adalah pewaris generasi Tun Mustafa. Jadilah penerus semangat perjuangan beliau dalam mengangkat martabat pendidikan anak watan Sabah,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi perjalanan hidupnya daripada seorang anak kampung di Sabah hingga berjaya menjejakkan kaki ke Scotland bagi melanjutkan pengajian, menggambarkan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh asal usul tetapi oleh iltizam dan disiplin diri. “Saya sendiri bukan dilahirkan dengan kelebihan, tetapi tekad dan usaha telah membawa saya sehingga hari ini,” tambahnya.
Dalam sesi soal jawab, apabila YB Timbalan menteri mengutarakan topik apakah perkara yang paling diharapkan sekiranya dapat kembali semula ke zaman universiti dahulu, Azmie Aziz mengingatkan pelajar agar bijak mengurus masa dan menanam budaya menabung sebagai persediaan masa depan, manakala Farid H. Askali Ibrahim berkongsi kisah peribadinya yang bangkit daripada kegagalan SPM untuk berjaya melalui peluang kedua di UiTM. “Kegagalan bukan noktah, tetapi peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar,” tegas Farid.
Wakil pelajar, Mohamad Khuzaimi Majid pula berkongsi bahawa kesilapan awalnya semasa tahun pertama di universiti ialah tidak mengambil inisiatif mencari biasiswa. Beliau menasihatkan rakan-rakan agar menjadikan pengalaman itu sebagai iktibar dan sentiasa menetapkan idola dalam hidup untuk dijadikan pendorong kejayaan.
Dalam pada itu, forum turut menyentuh tentang inisiatif Bajet 2026 yang diumumkan semalam oleh YAB Perdana Menteri, di mana golongan B40 akan menikmati pendidikan percuma melalui penajaan yuran oleh PTPTN, serta pelajar daripada keluarga B40 dan M40 yang memperoleh ijazah kelas pertama dikecualikan daripada membayar pinjaman. YB Datuk Ts. Mustapha menyifatkan langkah ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan tiada pelajar tercicir disebabkan faktor kewangan.
Sebagai tanda keprihatinan jua, YB Timbalan Menteri turut menyampaikan sumbangan inisiatif SULUNG kepada 10 pelajar UiTM Sabah serta bantuan 'one-off' berjumlah RM5,000 kepada 20 pelajar melalui Yayasan Perkasa Siswa.
Turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Prof Madya Ts. Dr. Viduriati Sumin; Pengurusan Eksekutif Negeri; dan Ketua Bahagian/Unit UiTM Cawangan Sabah.
Creator
Official Facebook Page : Kementerian Pendidikan Tinggi
Source
Official Facebook Page : Naib Canselor Universiti Teknologi MARA
Date
Format
Digital Text, JPEG Image
Language
Malay
Type
Social Media Post, News Article
Local URL
https://www.facebook.com/share/p/17WZU8CyAQ/
Collection
Citation
Official Facebook Page :Kementerian Pendidikan Tinggi, “Forum ‘Talk To Us’ YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Suntik Semangat Transformasi Diri dalam Kalangan Mahasiswa Baharu UiTM Sabah,” Minda Naib Canselor UiTM, accessed October 23, 2025, https://mindanc.uitm.edu.my/items/show/1653.