KUNJUNGAN MESRA NAIB CANSELOR UiTM KE KAMPUS KOTA KINABALU
Title
Description
Sesi Lawatan dan Ramah Mesra YBhg. Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM ke UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu telah berlangsung pada 11 September 2020, bersamaan hari Jumaat, 1 Safar 1442 H.
Dalam kunjungan singkat Naib Canselor UiTM ke kampus ini, beliau telah meluangkan masa untuk bertemu dengan Pengurusan Eksekutif UiTM Cawangan Sabah. Dalam pertemuan tersebut, Naib Canselor UiTM telah menekankan mengenai cabaran pasca Pandemik Covid-19 kepada universiti serta berkongsi mengenai matlamat dan pelan universiti pada masa akan datang. Naib Canselor UiTM juga pada lawatan kerja kali ini turut meninjau persekitaran dan keadaan terkini infrastruktur Kampus Kota Kinabalu, diiringi oleh YBhg. Datuk Prof Madya Dr. Hj. Abdul Kadir Hj. Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah.
Naib Canselor UiTM juga turut berkesempatan mengunjungi projek-projek di Unit Ladang, terutamanya Projek Mini Inkubator Ternakan Lobster Air Tawar (MITLAT), UiTM Cawangan Sabah yang merupakan sebuah projek penternakan dan keusahawanan, diteraju oleh sekumpulan pensyarah yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan ToCodes. Projek ini adalah hasil daripada geran sejumlah 3.5 juta yang dianugerahkan oleh TERAJU untuk membangunkan ekonomi komuniti setempat dengan sasaran manfaat kepada sekurang-kurangnya 300 keluarga di sekitar Kota Kinabalu.
Kunjungan YBhg. Naib Canselor UiTM ke kampus kali ini amat bermakna buat semua warga kampus. YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Kadir bin Hj. Rosline, Rektor UiTM Cawangan Sabah, Pengurusan Eksekutif Negeri dan seluruh warga UiTM Cawangan Sabah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Naib Canselor UiTM di atas kesudian meluangkan masa berkunjung ke kampus ini. Kujungan kali ini membuktikan bahawa walaupun kampus di negeri di bawah bayu jauh di mata, namun ianya akan tetap dekat di hati Naib Canselor dan pengurusan UiTM.