Istiadat Konvokesyen Ke-104 Universiti Teknologi MARA dan Titah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor
Title
Subject
Description

Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Pro-Canselor, yang berkenan berangkat mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor ke Istiadat Konvokesyen Ke-104 yang penuh istiadat dan tradisi di Dewan Agung Tuanku Canselor.
Istiadat Konvokesyen Ke-104 Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat detik bersejarah apabila seramai 25,336 graduan menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang, sekali gus mengukuhkan peranan universiti sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara.
Dalam titah baginda, UiTM disifatkan sebagai institusi yang mempunyai sejarah signifikan dalam membina kecemerlangan serta jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera sejak penubuhannya sebagai Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956.
“UiTM telah berkembang menjadi benteng ilmu yang menyinari harapan generasi demi generasi. Amanah ini hendaklah dipertahankan dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak,” titah baginda, ibarat seperti sebuah ‘Universiti Diraja’.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik global yang berpotensi menjejaskan kestabilan dunia, sambil menyeru graduan agar kekal berilmu, berintegriti dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan dengan penuh tanggungjawab.
Tuanku turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berbahagia Datuk Kee Mustafa atas pelantikan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA.
Pelantikan tersebut disifatkan sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap kepimpinan, pengalaman serta sumbangan beliau yang tidak ternilai. Baginda menzahirkan harapan agar amanah dan tanggungjawab yang digalas akan terus memacu kecemerlangan Universiti Teknologi MARA ke tahap yang lebih gemilang.
Sementara itu, kami juga menyatakan dalam ucapan bahawa tahun 2026 menandakan permulaan fasa baharu universiti menerusi agenda UiTM2030 yang memfokuskan kepada pembangunan graduan berdaya saing, berintegriti dan mampu memacu transformasi negara.
“Graduan Universiti Teknologi MARA bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu, tetapi turut dibentuk dengan nilai dan jati diri bagi memastikan mereka mampu menyumbang kepada masyarakat, bangsa dan negara.”
Alhamdulillah, Universiti Teknologi MARA terus mencatat pencapaian di peringkat antarabangsa apabila 20 subjek tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2026 merentasi lima bidang utama.
Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan kehadiran delegasi antarabangsa termasuk dari Uzbekistan dan Zimbabwe, serta penyertaan alumni merentas generasi sejak tahun 1983 hingga 2025.
Dalam pada itu, Tuanku Pro-Canselor turut mengingatkan bahawa graduan perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan landskap global, berfikiran kritis dan tidak mengabaikan nilai adab serta tanggungjawab sebagai insan berilmu.
Istiadat Konvokesyen Ke-104 Universiti Teknologi MARA bukan sahaja meraikan kejayaan akademik, malah menjadi simbol kesinambungan peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi Bumiputera yang memperkasa generasi masa depan dan memelihara amanah bangsa.
Menjunjung Kasih Tuanku
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير