Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung Accounting Research Institute (ARI)
Title
Description
Alhamdulillah, petang semalam selesai majlis penyerahan watikah pelantikan Profesor Adjung Accounting Research Institute (ARI) kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM, Shah Alam.
Terima kasih kepada Tan Sri Azam yang sudi menerima pelantikan UiTM sebagai Profesor Adjung Accounting Research Institute (ARI-HICoE). Dengan pengalaman lebih 40 tahun di BPR dan kemudian SPRM, Tan Sri memberi komitmen untuk bekerjasama bagi menyumbang kepada universiti segala ilmu, pengalaman, dan kepakarannya dalam usaha memperkukuhkan penyelidikan jenayah kewangan dan tadbir urus integriti.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman; Pengarah ARI-HICoE, Profesor Dr. Zuraidah Mohd Sanusi; Pengarah SPRM Selangor, TPj Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim; Pengarah Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli; serta Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, P/PKPj Hisyam Mohd Yusoff.
Sebelum majlis, Tan Sri singgah di pejabat kami untuk menunaikan solat Asar dan sempat kita berbual-bual empat mata berkongsi maklumat antara dua institusi UiTM dan SPRM. UiTM memberi komitmen untuk memastikan tatakelola dan integriti dipegang teguh oleh warga UiTM di setiap peringkat.
Selesai majlis, kami berbuka ringkas serta solat Maghrib, diikuti dengan majlis jamuan. Semoga kerjasama ini membuahkan hasil yang bermanfaat. Pelantikan Tan Sri adalah atas pengalaman dan kepakaran beliau, sepertimana juga lantikan kepada Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi atau Jabatan yang lain. UiTM juga melantik Profesor Adjung dari industri, termasuk dari luar negara. Penamaaan dari Fakulti/Kolej akan disaring dan dinilai oleh Jawatankuasa sebelum dibentang di Senat untuk kelulusan.
Antara Profesor Adjung lain dari agensi kerajaan adalah:
-
Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Profesor Adjung, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM)
-
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, Profesor Adjung Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM)
-
Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim, Ketua Pengarah, Jabatan PERHILITAN, Profesor Adjung Kolej Alam Bina (KAB)
-
Dato’ Syed Mohammad Bakri Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR), Profesor Adjung Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP)
Mereka semua menginfak masa, tenaga, dan buah fikiran kepada fakulti/kolej dan UiTM amnya sebagai sumbangan ikhlas dari mereka.
Terima Kasih semua.
Globally Renowned, Locally Rooted
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا
#Ramadan
#vcuitm7
#GRU2025
#MalaysiaMADANI
#UiTMdiHatiku❤️