Model Budi : Pelan Strategik 2026-2030
Title
Description
Alhamdulillah semalam dalam kepadatan jadual dengan mesyuarat LPU dan Senat yang bertembung atas ketiadaan masa di musim konvo ini, kami sempat membuat rakaman berkaitan model Budi yang sedang diketengahkan melalui pejabat Adiwangsa bakal menjadi sebahagian dari Pelan Strategik 2026-2030. Sedia maklum, banyak istilah bahasa Melayu asalnya Sanskrit, maknanya asal perkataan terkadang berubah setelah ribuan tahun digunakan bahasa setempat, terkadang menyingkap kembali makna asal memberi faham apa sebenarnya yang kita pertuturkan dan apa maksud sebenarnya, budaya orang Melayu dan Nusantara berpaksikan Budi.
Hidup menabur Budi, Budi disemai jangan diharap balas, Budi diterima harus dikenang, Hidup harus Berbudi, Berbudi Bahasa, Berbudi Pekerti, Berakal Budi dan Berhati Budi…
Renungkan samada kita benar-benar faham apa yang cuba disampaikan. Ayuh kita renung pantun lama yang dipetik dari buku Kurik Kundi Merah Saga berkait Budi…
Hidup Mesti Berbudi
Kalau tuan bawa perahu,
Muatan isi buah berangan;
Hendak berbudi biar selalu,
Supaya boleh buat kenangan.
Mari kita menanam padi,
Padi ditanam di dalam bendang;
Marilah kita menabur budi,
Supaya kita dikenang orang.
Budi Bukan Untuk Dibalas
Pucuk palas si daun palas,
Tetak mari beranti-ranti;
Bukan berbudi minta balas,
Asal ingat dalam hati.
Orang hulu menebang jati,
Orang darat menetak palas;
Kalau nak tahu budi sejati,
Tidak berhajat minta dibalas.
Mengenang Budi
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik Bercabang Tiga;
Hancurlah badan dikandung tanah,
Budilah baik dikenang juga.
Pulau Daik banyak kelapa,
Pulau Karimon banyak pegaga;
Budi baik payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga.
Hidup jangan tidak Berbudi
Burung pipit burung kedidi,
Hinggap di pokok di tepi sawah;
Jika hidup tidak berbudi,
Ibarat pokok tidak berbuah.
Hari redup menyemai padi,
Wak Dolah menanam jagung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk salah berdiri canggung.
Ambil kain buangkan baju,
Kerana baju tidak bertepi;
Ambil lain buangkan aku,
Kerana aku tidak berbudi.
Hidup Berbudi Bahasa
Anak teruna menanam betik,
Buah cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
Kalau kurang budi bahasa.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak berbaju kasa;
Apa guna memandang cantik,
Kalau tidak berbudi bahasa.
Apa itu Budi?
InsyaAllah ikuti kupasan lanjut…
Globally Renowned, Locally Rooted
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا
#vcuitm7
#GRU2025
#MalaysiaMADANI
#UiTMdiHatiku❤️