SIMPOSIUM KECEMERLANGAN OPERASI
Title
Subject
Description
Pada 15 Ogos 2017, bertempat di Dewan Sri Bestari, INTEKMA Resort & Convention Centre, Shah Alam telah berlangsungnya Simposium Kecemerlangan Operasi anjuran Institut Kualiti & Pengembangan Ilmu (InQKA) dan telah dihadiri seramai 200 orang peserta dari pelbagai fakulti, kampus cawangan dan jabatan seluruh UiTM.
Bertemakan “Operational Excellence Through Process Improvement” simposium ini merupakan idea bernas Prof. Emeritus Dato’ Dr Hassan Said, Naib Canselor UiTM bagi memberi peluang kepada semua peserta yang terlibat dalam projek kecemerlangan operasi mempamer dan berkongsi usaha-usaha penambahbaikan proses yang dilaksanakan ke arah penjimatan kos dan peningkatan kepuasan hati pelanggan. Di samping itu, pihak penganjur turut menjemput Prof. Dr. Nigel Grigg, Professor of Quality Systems dari Massey University, New Zealand untuk berkongsi pengalaman mengenai pelaksanaan “Operational Excellence in Tertiary Education” kepada peserta semasa simposium berlangsung.
Menurut Prof. Emeritus Dato’ Dr Hassan Said dalam ucapan beliau, kecemerlangan operasi bukanlah satu perkara yang baharu terutamanya dalam industri pembuatan dan perkhidmatan; termasuklah pelaksanaannya di Institusi Pengajian Tinggi Swasta di dalam dan di luar negara. Namun kecemerlangan operasi masih belum dilaksanakan di peringkat universiti awam Malaysia termasuk UiTM. Justeru, bersesuaian dengan kedudukan UiTM sebagai universiti awam terbesar, inisiatif kecemerlangan operasi adalah wajar diterajui dari aspek operasi pengajian tinggi.