UiTM LANCAR PELAN STRATEGIK 2025
Title
Subject
Description
Hadir merasmikan pelancaran Pelan Strategik UiTM 2025 itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Pelan lima tahun yang bertujuan untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka dunia itu menggariskan tiga tunggak utama iaitu pendidikan berkualiti, kecemerlangan global dan prestasi berasaskan nilai.
Syed Zainal Abidin berkata, sebagai sebuah universiti terbesar di negara ini, pelancaran pelan berkenaan dilihat mendokong hasrat kerajaan untuk melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.
“Pelan berkenaan perlu selari dengan WKB 2030 dan Rancangan Malaysia, termasuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan sebagai universiti, kita perlu melahirkan graduan yang bagus.
“Perbezaan yang kita mahu tonjolkan dalam pelan strategik 2025 ini adalah ia mengambil kira perubahan global selain daripada perubahan teknologi,” katanya
Yang turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim.
Syed Zainal Abidin berkata, menerusi pelan berkenaan, UiTM merancang untuk menganjurkan program yang berupaya menghasilkan usahawan dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, UiTM juga mensasarkan untuk melahirkan 10 peratus usahawan dalam kalangan graduan berbanding lima peratus yang dicapai kini.
Sementara itu, Mohd Azraai berkata antara pendekatan yang akan dilakukan UiTM adalah mengadakan kerjasama dengan universiti ternama dan syarikat multinasional untuk membentuk jaringan hubungan yang bagus.
“Kerjasama berkenaan akan meliputi akademik, penyelidikan serta mobiliti (program pertukaran pelajar dan kakitangan).
“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak termasuk mahasiswa, pensyarah, serta barisan pentadbiran UiTM, kita mampu merealisasikan pelan ini,” katanya.