LARIAN VIRTUAL RENTAS DESA KEBANGSAAN 2021 (VERDIK21)
Title
Description
Menyedari pentingnya kelangsungan aktiviti yang berpaksikan sukan, jasmani dan kesihatan, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) berpadu tenaga dalam menganjurkan Larian Virtual Rentas Desa Kebangsaan 2021 (VERDIK21) yang berlangsung dari Mac hingga Ogos 2021. Pelajar melengkapkan larian secara atas talian (virtual) di kediaman masing-masing dan data larian mereka diterima untuk direkodkan sebagai memenuhi keperluan PAJSK. Larian secara virtual ini merupakan alternatif kepada acara merentas desa yang lazimnya dijalankan di sekolah sebelum pandemik melanda.
VERDIK21 telah berjaya melibatkan penyertaan 31,921 pelajar sekolah di peringkat rendah dan menengah seluruh Malaysia. Jumlah ini membolehkan pihak penganjur menempa nama di dalam the Malaysia Book of Records (MBR) untuk larian virtual melibatkan pelajar sekolah paling ramai. Urusetia VERDIK21 sedang di dalam fasa akhir untuk mendapatkan pengiktirafan ini.
Untuk meraikan kesemua peserta, kejayaan penganjuran VERDIK21 dan pengiktirafan MBR, Majlis Penutup Larian Virtual Rentas Desa Kebangsaan 2021 (VERDIK21) telah berjaya dilaksanakan secara virtual pada 25 Ogos 2021.
Fakulti Pendidikan amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa para peserta terhadap penganjuran program ini. Selain rakan kolaborasi, sekalung penghargaan kepada rakan-rakan strategik Fakulti Pendidikan yang turut menjayakan program ini: ILMOO, Spacelabs Technology Sdn. Bhd. dan Let’s Play. Semoga kerjasama ini dapat dipanjangkan kepada pelbagai lagi kerjasama di masa yang akan datang.