[Artikel] Perkongsian Hantaran : UiTM Perlu Jadi Contoh Tegakkan Integriti
Title
Subject
Description

Shah Alam, 23 Oktober 2025 - Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja untuk menyediakan pendidikan berkualiti tetapi juga memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan integriti dalam kalangan warga kerja serta pelajar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata UiTM perlu menjadi contoh kepada pihak luar dalam menegakkan integriti.
Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) misalnya memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang merupakan pengisytiharaan kendiri dibuat oleh pimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti individu. Ini untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah, katanya ketika menyaksikan Lafaz IBR Pengurusan Kanan UiTM yang diketuai oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin di AEON Mall Shah Alam hari ini.
Beliau menegaskan bahawa rasuah dan salah guna kuasa adalah musuh utama kepada pembangunan mampan dan boleh merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang terlibat.
Sementara itu, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin berkata majlis IBR yang diadakan amat bermakna dalam memberikan penekanan kepada pentingnya menangani isu rasuah.
Majlis Mesyuarat Eksekutif UiTM telah bersetuju untuk menginstitusikan penganjuran majlis IBR ini apabila berlaku pelantikan ketua jabatan baharu dengan menetapkan 5 November setiap tahun sebagai Hari Integriti peringkat UiTM. UiTM juga turut bersama masyarakat menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA). Ini menunjukkan manifestasi kesungguhan UiTM untuk membudayakan integriti secara menyeluruh pada peringkat universiti, nasional dan antarabangsa.
Majlis Lafaz IBR ini diadakan sempena International Summit on Disability-Inclusive Futures (ISDIF) 2025. Turut dilancarkan ialah Buku Strategi Integriti UiTM 2026-2030 dan Pembangunan Sistem Audit Pematuhan Etika UiTM.
Turut hadir Datuk Ahmad Nizam Ismail, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM; TPj Mohd Azwan Ramli, Pengarah SPRM Selangor; Prof. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias, Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM merangkap Pengerusi 1 ISDIF 2025; Mohd Hafiz Ramlee, Pengarah Bahagian Integriti UiTM; Barisan Pengurusan Eksekutif dan Pengurusan Kanan UiTM.