Lawatan Naib Canselor UiTM ke Hokkaido, Jepun
Title
Subject
Description

Alhamdulillah, menjejak kaki di Pulau Hokkaido, disapa sang pelangi pagi, direzekikan untuk menjalin kerjasama dengan Sapporo International School, juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat bagi membantu menasihati perancangan, pengurusan, kurikulum dan pentadbiran sekolah.
Dr. Mohamed Shehata, Pengetua Sekolah, dan Dr. Mohammad Towfik Alam, Pengarah Sekolah, telah menyantuni kami dan membawa melawat sekitar sekolah serta bertemu para pelajar.
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya."
(Surah Al-Māidah, ayat 2)
Berkesempatan juga membuat perbincangan bersama Hokkaido University, mengembang sayap UiTM di peringkat antarabangsa khususnya ke Pulau Hokkaido. Alhamdulillah, banyak bidang usaha sama telah dikenal pasti, antaranya bidang Pengurusan Perniagaan dan Pengurusan Halal.
Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Tetsuhiko Takai, Pengarah Antarabangsa, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, kerana sudi menyambut kehadiran kami serta memberikan layanan yang mesra.
Sebelah malam, diundang pula untuk perkongsian ilmu dan pengalaman di Masjid Sapporo, berbicara tentang “Diversity is Rahmah (Mercy) in a Multinational Muslim Community”, berkongsi pengalaman di AS dan UK dalam usaha membangunkan masyarakat Islam serta kepentingan saling menghormati dan keperluan perpaduan dalam kepelbagaian seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Ditekankan juga pentingnya hidup dalam jamaah orang Islam dan mendirikan jamaah di masjid.
Terima kasih kepada Tuan Imam Sheikh Mohamed Ismail atas layanan yang diberikan. Sekolah dan Masjid Sapporo merupakan waqaf oleh dermawan dari Kuwait dan diserahkan kepada Hokkaido Islamic Society untuk diuruskan. Kami turut berkongsi pandangan tentang kaedah melestarikan lagi pengurusan masjid.
يَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَمَنْ شَذَّ شَذَّ فِي النَّارِ
"Tangan (pertolongan dan perlindungan) Allah bersama jamaah; dan sesiapa yang memisahkan diri daripada jamaah, maka dia akan terpisah menuju neraka."
(Hadis Riwayat al-Tirmizī, no. 2166, dan al-Nasā’ī, no. 4020, daripada Ibnu ‘Abbās RA; dinilai hasan sahih oleh al-Tirmizī)
Syukur direzekikan bertemu masyarakat Malaysia di Sapporo, serta menikmati keindahan dedaun pohon yang menguning menandakan musim luruh dan musim sejuk yang bakal menjelang.