Kuliah Maghrib dan Penutupan Majlis Tilawah & Hafazan al-Quran Piala Rektor 2025
Title
Subject
Description

Alhamdulillah, semalam direzekikan Solat Maghrib di Masjid Al-Hikmah, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah. Sempat menyampaikan Kuliah Maghrib bertajuk “Usaha, Takwa Mulia: Resipi Kejayaan Dunia dan Akhirat Mahasiswa UiTM”, sebelum menyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Piala Rektor 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Oktober.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Muamalat Student Association (MuSA) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Melaka atas kejayaan menganjurkan majlis penuh barakah ini.
Terima kasih kepada Bank Islam serta Islamic Tourism Center atas kesudian dan keprihatinan menyumbang dalam menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran ini. Ribuan terima kasih juga kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atas kesudian memberikan sumbangan kepada Anak Asnaf UiTM berjumlah RM20 ribu.
Kami mengingatkan tentang pentingnya menjaga niat: Masuklah untuk Belajar, Keluarlah untuk Berbakti. Tentang perlunya menjaga setiap perbuatan dan amal, yang tidak terlepas daripada lima hukum asas — wajib, sunat, harus, makruh dan haram — yang pasti akan dicatat amalnya, setiap satu walau sebesar zarah. Maka jadilah kita AdiWanga, Bangsa Mulia, Khaira Ummah, dengan memenuhi tiga prasyaratnya:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
(Ali ‘Imran: 110)
Maka sebarkanlah kebaikan, cegahlah keburukan, dan ingatlah Allah.
Hadir sama:
Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi bin Hj. Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka;
Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Mizan Hitam, Profesor Kehormat Fakulti Alam Bina, Rektor UiTM Melaka ke-7;
Puan Mas Anisah Ayu binti Othman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Melaka;
Encik Fadzil bin Ab Rahman, Pengurus Cawangan Bank Islam Melaka; dan Encik Ahmad Syujaie bin Mohamad Nordin, Eksekutif Bahagian Pembangunan Industri, Islamic Tourism Center, serta semua JKEN Melaka.
Terima kasih kepada semua, khususnya para mahasiswa yang terlibat dalam penganjuran majlis yang mulia ini.