Hikmah dan Adab Mencari Ilmu: Ibrah dari Kisah Nabi Musa a.s. dan Khidir a.s.
Title
Subject
Description
Salam Jumaat,
Antara kisah paling menarik tentang ilmu, hikmah dan adab mencari ilmu adalah kisah Nabi Musa a.s., dikisahkan dalam surah Al-Kahfi ayat 60–82, surah yang sunat kita membacanya di hari Jumaat yang mulia ini.
Sewaktu Nabi Musa a.s. menyampaikan khutbah kepada Bani Israil, seorang lelaki bertanya:
“Siapakah orang yang paling berilmu di dunia ini?”
Nabi Musa menjawab: “Aku.”
Lalu Allah menegur baginda dengan wahyu bahawa ada seorang hamba Allah yang lebih mengetahui sesetengah perkara yang tidak diketahui oleh Musa, iaitu Khidir a.s.
Allah kemudian memerintahkan Nabi Musa a.s. pergi mencarinya di tempat pertemuan dua laut (Majma‘ al-Bahrain), bersama pembantunya, Yusha‘ bin Nun.
Kisah selanjutnya semua kita sedia maklum, tetapi yang terlebih penting adalah mengambil ibrah serta pengajaran untuk kita yang kononnya bergelumang dan menyebarluaskan ilmu.
Kami mengingat diri yang faqir, terkadang kita menyangka kita terpaling tahu — dengan ijazah kedoktorannya, gelar profesornya, pangkat serta gelar yang berjela — tetapi yang pastinya, di luar sana ada yang lebih tahu daripada kita untuk sesuatu ilmu dan hikmah yang direzkikan kepada orang lain. Terkadang ilmu itu ada pada orang yang tidak berijazah tinggi, tiada bergelar atau berpangkat. Walau apa pun gelar mereka — buruh, tukang kasut, pemandu, petani, pegawai, pengurus — semuanya berpotensi memiliki hikmah.
Ibrah utama daripada kisah Nabi Musa a.s. ini ialah:
-
Ilmu Allah Maha Luas.
Tiada manusia yang mengetahui segala-galanya, walau sehebat mana pun ilmunya. -
Adab mencari ilmu.
Nabi Musa menunjukkan adab murid kepada guru — meminta izin, merendah diri, dan bersabar. -
Ilmu zahir dan batin.
Sesetengah perkara yang nampak “buruk” sebenarnya membawa rahmat, dan sebaliknya. -
Sabar adalah kunci memahami ilmu.
Tanpa kesabaran, seseorang mudah membuat kesimpulan yang salah. -
Hikmah hanya Allah yang memberi.
“Dan sesiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak.” (Al-Baqarah: 269)
Yang paling pasti, Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui dan merezkikan ilmu serta hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki.
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
“Dia (Allah) memberikan hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki; dan sesiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang berakal.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 269)
Ilmu dan hikmah boleh datang daripada sesiapa sahaja yang diizinkan Allah, selagi kita berfikir, merenung, dan menilai apa yang dikata:
“Lihatlah apa yang dikatakan, bukan siapa yang berkata.”
(Ali bin Abi Talib r.a.)
Cabaran utama dalam memahami hikmah adalah kesabaran, seperti soalan Nabi Khidir a.s. yang menjadi peringatan hingga hari ini:
وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا
“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?”
(Al-Kahfi: 68)
Globally Renowned, Locally Rooted
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا