Menghadiri Majlis Perasmian Klinik Pergigian Garnet dan Penubuhan MICRODENT – UiTM Advanced Dental Microscope Center (UADMC)
Title
Description

Alhamdulillah pagi tadi menyaksikan satu lagi pencapaian yang membanggakan UiTM, iaitu perasmian Klinik Pergigian Garnet, klinik satelit Fakulti Pergigian UiTM.
Ia merupakan satu langkah penting dalam usaha untuk memperluas perkhidmatan pergigian, bukan sahaja kepada warga UiTM, tetapi juga kepada masyarakat setempat. Ini antara bukti komitmen UiTM dalam memastikan masyarakat mendapat akses kepada rawatan pergigian yang berkualiti.
Klinik ini juga berfungsi sebagai pusat latihan klinikal untuk para pelajar pascasiswazah menjalani latihan untuk menjadi pakar pergigian dalam pelbagai bidang, seperti Pakar Endodontik dan Pakar Pergigian Penjagaan Khas, bagi melahirkan lebih ramai pakar pergigian yang berkualiti serta memberikan impak positif kepada kesihatan pergigian masyarakat.
Sebuah bilik rawatan khas yang dikenali sebagai ZenDent juga ditubuhkan, sebuah fasiliti pergigian berkonsepkan Sensory-Adapted Dental Environment. ZenDent direka khusus untuk memenuhi keperluan pesakit berkeperluan khas seperti individu dengan autisme, ketidakupayaan perkembangan serta pesakit yang mengalami kebimbangan sensori, selari dengan agenda Inclusive Healthcare Movement UiTM, ‘Breaking Barriers, Building Smiles’.
Akhirnya menyempurnakan penubuhan MICRODENT – UiTM Advanced Dental Microscope Center (UADMC), sebuah inisiatif strategik UiTM dalam memperkukuh peranan universiti sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan berasaskan kepakaran dan teknologi terkini.
Penubuhan pusat ini bertujuan menyediakan rawatan akar gigi bagi kes-kes lanjutan yang memerlukan ketepatan klinikal tinggi melalui penggunaan mikroskop pergigian, sekali gus meningkatkan kualiti rawatan kepada masyarakat serta memperkukuh ekosistem latihan klinikal berimpak tinggi.
Tahniah Dekan dan warga Fakulti Pergigian! Turut hadir Dekan Perubatan, Dekan Farmasi dan Dekan Sains Kesihatan serta rakan-rakan industri yang menjadi penaja bersama.
Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا