UiTM Raih Pengiktirafan MBOR Menerusi Program Sapuan Fluorida

Title

UiTM Raih Pengiktirafan MBOR Menerusi Program Sapuan Fluorida

Subject

Universiti Teknologi MARA, Malaysia Book of Records, MBOR, Program Sapuan Fluorida, Kesihatan Pergigian, Kesihatan Awam, Pendidikan Kesihatan

Description


"
UiTM RAIH PENGIKTIRAFAN MBOR MENERUSI PROGRAM SAPUAN FLUORIDA " KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori "Penyertaan Teramai dalam Program Aplikasi Fluorida Topikal Secara Oral" selepas 737 rakyat Malaysia menerima sapuan fluorida dalam tempoh tiga jam sempena program Mega Fluoride Oral Health Day 2026: The Fluoride Factor.

UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang berlangsung di Fakulti Pergigian UiTM, Kampus Sungai Buloh itu dianjurkan Inclusive Healthcare Movement (IHCAM), Fakulti Pergigian UiTM dengan kerjasama Solventum Malaysia Sdn Bhd. Program kesihatan komuniti berskala besar itu bertujuan memperluas akses kepada penjagaan kesihatan mulut menerusi pendidikan kesihatan, saringan pergigian dan rawatan pencegahan menggunakan sapuan fluorida.

Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada golongan yang berdepan kekangan mendapatkan perkhidmatan pergigian secara berkala, termasuk kanak-kanak dengan masalah perkembangan, keluarga berpendapatan rendah serta komuniti terpinggir.

Dekan Fakulti Pergigian UiTM Prof Madya Dr Mas Suryalis Ahmad berkata pencapaian itu bukan sekadar mencatat rekod, sebaliknya mencerminkan usaha memperluas akses kepada penjagaan kesihatan mulut, khususnya bagi golongan yang berdepan kekangan mendapatkan perkhidmatan pergigian secara berkala. "Kesihatan pergigian merupakan komponen penting kepada kesejahteraan dan kualiti hidup.

Namun, masih terdapat golongan dalam masyarakat yang berdepan kekangan untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan pencegahan pergigian secara berkala. "Justeru, pencapaian Malaysia Book of Records ini bukan sekadar mengenai jumlah peserta.

Apa lebih bermakna ialah kemampuan kita membawa perkhidmatan pencegahan, pendidikan kesihatan mulut dan kesedaran mengenai kepentingan fluorida kepada masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan pergigian," katanya.

UiTM memaklumkan penyertaan 737 peserta dalam tempoh tiga jam itu melepasi sasaran awal 500 peserta bagi percubaan mencipta rekod berkenaan dan ia dilaksanakan mengikut protokol klinikal dan keperluan pengesahan MBOR.

Program berkenaan mendapat penyertaan daripada 20 pensyarah dan pakar pergigian, 10 pelajar pascasiswazah, lima alumni serta 100 mahasiswa prasiswazah, sekali gus mencerminkan kerjasama dan semangat kesukarelawanan warga UiTM. Mega Fluoride Oral Health Day 2026 turut merangkumi pendidikan kesihatan pergigian, saringan kesihatan mulut dan konsultasi, selain penggunaan fluorida sebagai pendekatan pencegahan penyakit pergigian.

Melalui IHCAM, Fakulti Pergigian UiTM memberi penekanan kepada akses kesihatan lebih inklusif, khususnya bagi golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan pergigian secara berkala selain program turut mendapat sokongan Malaysian Dental Association Foundation Grant 2026. Mas Suryalis berkata kerjasama antara universiti, industri dan komuniti membolehkan kepakaran yang secara langsung kepada masyarakat.

Menurut kenyataan itu, pemantauan susulan selepas tiga bulan turut dirancang bagi aplikasi fluorida dan pemantauan kesihatan mulut, selain penilaian pengetahuan dan persepsi peserta terhadap fluorida.

Kenyataan itu menyebut pencapaian MBOR bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada UiTM dan rakan strategiknya, malah memperlihatkan bagaimana kepakaran akademik, sokongan industri dan penglibatan komuniti dapat digembleng untuk memperluas akses masyarakat kepada penjagaan kesihatan mulut.

-- BERNAMA

Creator

Official Facebook Page : Naib Canselor Universiti Teknologi MARA

Date

Relation

Hantaran ini berkaitan dengan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) terhadap Universiti Teknologi MARA menerusi pelaksanaan Program Sapuan Fluorida.

Format

Digital Text, News Article

Language

Malay

Type

Social Media Posting (Facebook), Institutional Achievement, Award Recognition, Health Programme, Dental Health Awareness

Coverage

Malaysia

Local URL

https://www.facebook.com/share/p/18r7zesggV/

Files

Collection

Tags

Citation

Official Facebook Page :Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, “UiTM Raih Pengiktirafan MBOR Menerusi Program Sapuan Fluorida,” Minda Naib Canselor UiTM, accessed November 5, 2026, https://demo.library.uitm.edu.my/items/show/2492.

Output Formats