UiTM Mencapai 14% Teratas dalam QS Asia University Ranking 2023
Title
UiTM Mencapai 14% Teratas dalam QS Asia University Ranking 2023
Description
SHAH ALAM , 8 NOVEMBER 2022 – UiTM berbangga atas kejayaannya mencapai kedudukan dalam kalangan 14% universiti teratas di Asia seperti yang disenaraikan dalam laporan QS Asia University Rankings (AUR) 2023. Keputusan QS AUR 2023 yang dikeluarkan awal hari ini menilai 757 institusi, dengan 34 peserta baharu pada tahun ini. Kedudukan keseluruhan UiTM juga meningkat daripada 105 pada tahun lepas kepada 104 pada tahun ini dan jelas menunjukkan momentum peningkatan yang berterusan sejak tahun 2018. Pada peringkat nasional pula, UiTM kini berada pada kedudukan ke-9 dalam kalangan 36 universiti yang tersenarai.
Antara 11 indikator yang diukur oleh QS AUR, Reputasi Majikan (Employer Reputation) kekal sebagai indikator terbaik UiTM dengan kedudukan ke-61 pada peringkat serantau. UiTM juga telah menambah baik kedudukannya untuk indikator Reputasi Akademik (Academic Reputation) dengan mencapai kedudukan ke-68, sekaligus membuktikan pencapaian yang tinggi institusi tersebut bagi kedua-dua indikator QS AUR ini. Penambahbaikan yang ketara juga direkodkan untuk skor faculty-student ratio, jumlah pelajar antarabangsa, dan pertukaran pelajar inbound dan outbound.