KERJASAMA UiTM, SUNWAY UNIVERSITY BANGUNKAN TEKNOLOGI HIJAU BERASASKAN POLIMER NANOKOMPOSIT

Title

KERJASAMA UiTM, SUNWAY UNIVERSITY BANGUNKAN TEKNOLOGI HIJAU BERASASKAN POLIMER NANOKOMPOSIT

Description

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalinkan kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Nano-Materials and Energy Technology (RCNMET) Sunway University bagi membangunkan teknologi hijau berasaskan polimer nanokomposit.

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim, berkata kerjasama itu memfokuskan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 6, 7, 12 dan 16 untuk memastikan keterdapatan dan pengurusan lestari air dan sanitasi bagi semua.

Beliau berkata, antara penyelidikan Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar, UiTM Negeri Sembilan dan RCNMET Sunway University melalui kerjasama itu membabitkan usaha pemeliharaan alam melalui penggunaan teknologi hijau berasaskan tenaga solar dalam degradasi bahan kurang berbahaya.

“Melalui kerjasama ini, penghasilan bahan polimer nanokomposit dapat juga diguna pakai dalam penghasilan gas hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif pada masa depan sebagai usaha pengurangan penghasilan karbon.

“Peranan serta usaha UiTM dan Sunway University dalam mencapai agenda SDGs adalah langkah positif oleh kedua-dua institusi yang terbabit dalam membina sebuah ekosistem mampan,” katanya pada Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dan Sunway University di Bangunan Canceleri, UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Sunway University, Prof Graeme Wilkinson; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sunway University; Prof Serge Demidenko; Ketua RCNMET Sunway University, Prof Saidur Rahman dan Rektor UiTM Kampus Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yasin.

Mohd Azraai berkata, kerjasama itu tepat pada masanya untuk meningkatkan kepakaran dan sumber dalam usaha membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan abad ke-21, termasuk Revolusi Industri 4.0 dan teknologi mampan.

Katanya, ia menjadi tumpuan UiTM dalam usaha meningkat kerjasama strategi dan pengiktirafan global sebagai sebuah universiti utama dengan sumbangan besar ke arah membangunkan modal insan dan memajukan pertumbuhan negara.

“Seperti yang anda tahu, hari ini, kita menghadapi cabaran tempatan, serantau dan global dalam pelbagai bidang, seperti kesihatan diri dan pengurusan sisa.

“Kita melihat potensi besar dalam inovasi sains alam sekitar dan teknologi tenaga dalam menangani cabaran ini kerana ia tidak dapat ditangani oleh mana-mana individu atau organisasi, sebaliknya memerlukan kerjasama berkesan dalam kalangan universiti, industri dan pembuat dasar,” katanya.

Beliau berkata, UiTM sangat berbesar hati dapat bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan yang dapat menghasilkan inovasi yang lebih selamat dan lestari menggunakan sumber semulajadi, berskala ekonomi dan selaras usaha universiti itu menerusi kempen Greenation@UiTM bagi memupuk inovasi alam sekitar dan sosial yang lebih besar.

“Kami mengakui reputasi Universiti Sunway dalam kecemerlangan pendidikan dan pembabitan industri yang kuat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Dengan komitmen kedua-dua belah pihak, saya yakin kerjasama ini akan menggalakkan lebih banyak aktiviti bersama pada masa hadapan seperti program pertukaran akademik, mobiliti pelajar dan kakitangan, peluang latihan dan juga aktiviti keusahawanan,” katanya.

Sasaran Pembangunan Mampan atau SDG sudah menjadi agenda utama global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai oleh semua negara menjelang 2030.

Source

Publisher

Files

sunway.JPG

Collection

Tags

Citation

“KERJASAMA UiTM, SUNWAY UNIVERSITY BANGUNKAN TEKNOLOGI HIJAU BERASASKAN POLIMER NANOKOMPOSIT,” Minda Naib Canselor UiTM, accessed December 19, 2024, https://mindanc.uitm.edu.my/items/show/185.

Output Formats