Nikmat di Kampung : Kokokan Ayam dan Peringatan Ibadah
Title
Subject
Description

Antara nikmat berada di kampung ialah mendengar kokokan ayam, seawal pagi sebelum Subuh sudah bersahut-sahutan. Nabi SAW melarang mencaci ayam yang berkokok pada waktu dini hari tersebut.
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani RA, bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
لَا تَسُبُّوا الدِّيكَ فَإِنَّهُ يُوقِظُ لِلصَّلَاةِ
“Janganlah kamu mencaci ayam, kerana sesungguhnya ia membangunkan (manusia) untuk solat.”
(Sunan Abu Dawud no. 5101)
Kami diajar bahawa melalui kokokan ayam, kita mengetahui bahawa malaikat Subuh telah turun menggantikan tugas waktu siang. Hal ini dinyatakan dalam hadis Nabi ﷺ:
إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا
“Apabila kamu mendengar kokokan ayam jantan, maka mohonlah kurnia kepada Allah kerana ia melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar ringkikan keldai, maka berlindunglah kepada Allah daripada syaitan kerana ia melihat syaitan.”
(Hadis Muttafaq ‘Alaih: Sahih al-Bukhari 3303, Sahih Muslim 2729)
Waktu inilah terhimpunnya malaikat malam dan siang yang menjadi saksi amalan manusia:
يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ...
“Malaikat malam dan malaikat siang silih berganti mengawasi kamu dan berkumpul pada waktu solat Subuh dan Asar…”
(Hadis Muttafaq ‘Alaih: Imam al-Bukhari no. 555, Imam Muslim no. 632)
Allah SWT juga berfirman:
أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ... وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
(Surah al-Isra’: 78)
Dan:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ...
(Surah al-Isra’: 79)
Ulama tafsir seperti Ibnu Kathir menjelaskan bahawa pada waktu ini malaikat penjaga malam dan siang berkumpul menyaksikan bacaan al-Quran dan solat Subuh.
Alhamdulillah, ayam-ayam ini tidak ditangkap, dipelihara, dimakan atau dijual, sebaliknya hidup bebas seperti unggas lain—murai, tiong dan pipit uban—datang dan pergi menumpang rezeki yang dikongsi.
Ayam ini dikenali sebagai ayam denak, berciri kaki hitam, telinga putih, telur berwarna putih, tidur di atas pokok serta berbulu cantik. Ia dipercayai berasal daripada ayam hutan merah yang merupakan hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Setiap makhluk Allah adalah amanah kepada manusia untuk dipelihara bagi generasi akan datang dan mempunyai kelebihan tersendiri sebagaimana ditetapkan oleh Allah SWT.
Sekiranya mendengar kokokan ayam di dini hari, ingatlah sabda Nabi ﷺ—bangunlah untuk bertahajud serta panjatkan doa, memohon kurnia daripada Allah SWT.
Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا
