Lawatan Kerja ke Nagoya, Jepun bagi Penubuhan TPS Ceramic Hub UiTM
Title
Subject
Description

Alhamdulillah, selesai lawatan kerja ke Nagoya, Jepun bagi penubuhan TPS Ceramic Hub di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj serta Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat bersama. Menjunjung kasih Tuanku Sultan dan Tuanku Permaisuri.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penting dalam usaha memperkukuh pembangunan bidang seni seramik di Malaysia serta memperluas jaringan kerjasama akademik dan industri di peringkat antarabangsa. Wilayah Aichi dan Gifu di Jepun terkenal sebagai pusat utama industri seramik dunia dengan sejarah dan tradisi yang kaya dalam penghasilan karya seramik berkualiti tinggi.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan yang lebih mendalam terhadap teknologi, inovasi serta amalan terbaik dalam industri seramik Jepun. Pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh menjadi asas penting dalam pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub di Universiti Teknologi MARA.
Pusat kecemerlangan seramik ini akan menggabungkan:
• pembangunan artisan dan industri kreatif
• penyelidikan bahan dan teknologi seramik
• pendidikan seni dan reka bentuk
• pelancongan budaya dan warisan bangsa
Institusi yang dijadikan penanda aras termasuk Nagoya Institute of Technology, sebuah universiti teknologi yang terkenal dalam bidang sains bahan dan teknologi seramik termaju (advanced ceramics), serta Aichi University of the Arts yang memberi tumpuan kepada pendidikan seni visual, muzik dan penyelidikan kreatif.
Rombongan turut melawat Noritake Garden, sebuah kompleks budaya dan industri yang mempamerkan sejarah perkembangan seramik Noritake sejak tahun 1904. Komponen lawatan termasuk Noritake Museum, Craft Center, studio reka bentuk dan taman budaya. Kompleks ini menunjukkan integrasi antara industri seramik, inovasi reka bentuk dan pelancongan budaya yang boleh dijadikan rujukan dalam pembangunan TPS Ceramic Hub di UiTM.
Lawatan turut diadakan ke Tajimi City Pottery Design and Technical Center, sebuah pusat penyelidikan khusus untuk seramik moden di Jepun, serta disambut oleh Mayor of Tajimi, Mr. Takayuki Takagi dan Director of the Economic Affairs Department. Rombongan juga melawat Aichi Prefectural Ceramic Museum dan Seto Ceramic Plaza.
Selain itu, lawatan ke bandar Tokoname turut diadakan dan disambut oleh Mayor Tokoname, Mr. Tatsuya Ito. Bandar ini mempunyai kira-kira 190 artisan seramik terkemuka Jepun. Rombongan berpeluang melihat bagaimana industri berasaskan komuniti ini menghasilkan produk seramik bertaraf dunia. Perkongsian turut dibuat mengenai Bandaraya Shah Alam dan Negeri Selangor, termasuk cadangan usaha sama bandar berkembar. Lawatan juga melibatkan Ceramic Research Institute yang diuruskan oleh Persatuan Seniman Seramik Tokoname. UiTM telah menjalinkan kerjasama dengan seniman Tokoname sejak penghujung 1960-an, dan diharapkan lawatan ini dapat memperkukuh semula hubungan tersebut.
Rombongan turut menyusun lawatan pasangan Diraja ke Nagoya Castle serta lawatan ke Tapak Warisan Dunia UNESCO Shirakawa-go, di samping menikmati keindahan musim bunga sakura walaupun cuaca hujan dan sejuk berangin.
Semoga usaha ini mampu melonjakkan kembali program Seramik di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM serta mempertahankan warisan pandai tanah negara.
Menjunjung kasih Tuanku berdua atas minat yang mendalam terhadap seni seramik dan seni secara am. Ampun Tuanku atas segala kekurangan sepanjang urusan lawatan ini.
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير