Penyertaan UiTM dalam 2nd Joint Committee Meeting Malaysia - Republic of Türkiye on Higher Education
Title
Subject
Description

Hari ini menghadiri 2nd Joint Committee Meeting Malaysia - Republic of Türkiye on Higher Education dengan sokongan padu melalui kehadiran Naib-Naib Canselor Universiti Awam dan GLU.
Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye (CoHE), TYT Prof. Dr. Erol Özvar.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menekankan bahawa mesyuarat itu bukan sahaja mencerminkan kerjasama dua hala, sebaliknya mewakili visi bersama untuk memperkukuh diplomasi akademik, memperluas perkongsian strategik, dan mempersiapkan institusi bagi menghadapi cabaran akan datang.
Mesyuarat itu juga bersetuju dengan rancangan untuk menubuhkan Pusat Pengajian Malaysia-Türkiye (Centre for Malaysia-Türkiye Studies) di Malaysia yang bakal berfungsi sebagai hab strategik.
Mesyuarat bersejarah itu turut dihadiri oleh barisan tetamu kehormat iaitu Naib Presiden Lembaga Pemegang Amanah Ibn Haldun University, TYT Necmeddin Bilal Erdoğan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; barisan pengurusan tertinggi KPT; barisan pengurusan tertinggi CoHE; Naib-Naib Canselor IPT awam dan swasta; serta para rektor dari universiti-universiti terkemuka Türkiye.
UiTM menandatangani persefahaman bersama Ibn Haldun University dan Middle East Technical University dengan 15 MoU yang masih aktif bersama institusi di Türkiye.
Hubungan Malaysia dengan Negeri-Negeri Melayu telah lama terjalin sejak zaman Khalifah Othmaniah, yang dapat dilihat melalui reka bentuk bendera Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan ciri khas bulan bintang, bintang pecah lima dan latar berwarna merah. Penggunaan bintang pecah lapan atau Bintang Seljuk juga melambangkan syiar Islam di Malaysia seperti pada logo JAKIM, corak bangunan masjid dan reka bentuk tapak Menara Berkembar Petronas.
Bendera Johor tanpa warna biru, Bendera Selangor serta Panji Sultan Selangor di bahagian suku atasnya dan bendera Kelantan tanpa keris dan tombaknya menyerupai bendera Othmaniah. Dalam bahasa Turki dikenali sebagai Ay Yıldız (Bulan Bintang) dan Al Bayrak (Panji Merah). Bendera merah putih yang sering dikaitkan dengan Kerajaan Majapahit tertubuh pada tahun 1293 dan Kerajaan Othmaniah pada tahun 1299.
UiTM juga akan menawarkan pembelajaran bahasa Turki dan akan meneruskan usaha pendigitalan manuskrip Jawi lama sejak zaman Othmaniah.
Kemelut sosio-politik dunia hari ini memerlukan negara mempunyai hubungan baik dengan semua negara khususnya negara-negara umat Islam. Malaysia merupakan negara majmuk dengan Islam sebagai agama Persekutuan.
Malaysia terus komited untuk memperkukuh jaringan strategik bersama Türkiye demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh para pelajar, institusi serta masa depan kedua-dua negara.
Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional
دمي اڬام بڠسا دان تانه اير
اوسها تقوى مليا