Menghadiri Majlis Yunus Emre Institute and UiTM Cultural Interchange Series II: Discover Ankara, the Tourism Capital of the Turkic World 2026
Title
Subject
Description
Alhamdulillah, pagi Jumaat, berada di Fakulti Alam Bina (FAB), UiTM Puncak Alam menghadiri Yunus Emre Institute and UiTM Cultural Interchange Series II: Discover Ankara, the Tourism Capital of the Turkic World 2026. Hadir sama His Excellency, Nevzat Uyanik, Duta Republik Türkiye, His Excellency Irfan Davudov, Duta Republik Azerbaijan, dan wakil kedutaan Republik Kazakhstan, serta rakan kerjasama Dr. Ömer Altun, Pengarah Yunus Emre Institute, KL. Mengucap selamat datang ke Malaysia kepada Duta Türkiye yang baharu.
Tahniah Centre of Studies for Architecture and Planning (Interior Architecture) dan Fakulti Alam Bina, Dekan FAB, Professor Ts. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi dan seluruh warga FAB atas penganjuran yang berjaya, Alhamdulillah.
Kami sempat kongsi beza Turkic dan Turkish, luasnya pengaruh Türkiye, berkongsi sejarah Nusantara dan Türkiye sejak zaman Othmaniah hingga kini, betapanya Bintang Seljuk pecah lapan dan Bulan Sabit serta Bintang pecah lima menjadi simbol Islam di Tanah Melayu hingga kini. Bintang ini wujud hampir di semua masjid dan pelbagai logo yang menggambarkan Islam, antaranya logo halal JAKIM.
Rata-rata juga menghurai songkok berasal dari Ottoman Fez atau tarbus yang masih dipakai di seluruh Nusantara. Sempat bergurau dengan TYT Nevzat, kami Melayu Islam masih meneruskan budaya yang dimulakan oleh mereka, sedang orang Türkiye tidak lagi memakai Fez. Hilang apabila usaha memadam kesan Othmaniah dibuat dengan undang-undang Hat Law 1925 (Şapka İktisası Hakkında Kanun), Fez digantikan dengan topi Barat…
Turut berkongsi sejarah pembinaan Menara Berkembar Petronas dibina dengan tapak Bintang Seljuk, menggambarkan asas Islam adalah agama Persekutuan. Itulah mendalamnya persaudaraan Islam antara Malaysia dan Türkiye.
Bergurau lagi dengan Duta Türkiye, kalau rindu bendera Türkiye seperti di Istanbul, datanglah ke Shah Alam. Walaupun bendera Selangor ada sejarahnya sendiri, nyata sudut bulan dan bintang tak tumpah bendera Türkiye dengan makna yang sama, bintang pecah lima melambangkan Rukun Islam dan merah tanda keberanian, dan serata Shah Alam arca Bintang Seljuk menjadi arca hiasan di tepi jalan…
Nama lainnya Rub’ al-Hizb, رُبْعُ الْحِزْبِ ۞ menjadi tanda dalam mushaf al-Quran. Simbol ini digunakan untuk menandakan penghujung setiap suku hizb, bagi memudahkan bacaan dan hafazan.
Pembahagian al-Quran:
- 30 juzuk
- 60 hizb (setiap juzuk mengandungi 2 hizb)
- 240 rubʿ al-hizb (setiap hizb dibahagikan kepada 4 suku)
Oleh itu:
- 1 juzuk = 2 hizb
- 1 hizb = 4 rubʿ al-hizb
- Keseluruhannya terdapat 240 rubʿ al-hizb dalam al-Quran.
Walau ia satu arca mudah ۞, sejarahnya panjang, maknanya luas…
Shah Alam Şah Âlem شاه عالم juga dalam bahasa Türkiye membawa maksud Raja Dunia… juga dalam Farsi, Pashto dan Urdu… now you know!