Lawatan YBM KPT ke Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM)
Title
Subject
Description

Alhamdulillah, tengah hari tadi menghadiri lawatan YBM KPT YB DS Dr Zambry Abd. Kadir ke Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) bagi meninjau perkembangan terkini penyelidikan, pembangunan teknologi serta pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan 2025–2030 yang menjadi antara agenda penting dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara.
PTPKM merupakan institusi strategik negara yang berperanan menyelidik, membangun dan mengurus teknologi kriptografi serta keselamatan siber bagi memperkukuh pertahanan digital negara.
Dikendalikan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama UiTM, UTeM, UTM dan USM, PTPKM memainkan peranan penting dalam memacu peralihan Malaysia ke arah Kriptografi Pasca-Kuantum (Post-Quantum Cryptography, PQC) sebagai langkah awal menghadapi ancaman baharu yang bakal muncul seiring perkembangan teknologi kuantum.
Persediaan awal melalui migrasi kepada teknologi kriptografi pasca-kuantum amat penting bagi memastikan sistem komunikasi, perlindungan data, rangkaian digital serta infrastruktur kritikal negara kekal selamat, berdaya tahan dan diyakini.
Terima kasih YBM KPT atas sokongan berterusan bersama Kerajaan MADANI dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi, memperkukuh keupayaan teknologi tempatan serta memastikan Malaysia sentiasa bersedia mendepani cabaran era digital. Keupayaan dalam bidang kriptologi dan keselamatan siber bukan sahaja penting bagi melindungi kepentingan negara, malah menjadi asas kepada kedaulatan digital, kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi pada masa hadapan.
Hadir sama YBhg. Dato’ Sri Pengerusi LPU UPM, YBhg. Dato’ KSU, Datuk TKSUP, Datuk KPPT, TKPPT, Dato’ KP Keselamatan Negara, KE NACSA, VC UPM, VC UTM, wakil UTeM, wakil USM dan warga PTPKM.