Falsafah Kehidupan dalam Keris Malela Berricikan Unduk-Unduk
Title
Subject
Description

Keris Malela, Unduk-Unduk, Seni Warisan Melayu, Busana Tradisional, Falsafah Kehidupan, Islam, Hadis Nabi Muhammad SAW, Kepentingan Ilmu, Adab Menuntut Ilmu, Jati Diri, Agama Bangsa dan Tanah Air
Description: Tempohari kami berbusana tradisional membuka pentas operata, ada yang mohon dikongsikan sedikit perihal keris yang diselitkan di pinggang kami, hulu, pakaian dan bilahnya.
Keris Malela berricikan unduk-unduk dari besi sebatang dengan bilah diwarangi, panjang sekaki berluk lima, berhulukan unduk-unduk kayu sawo, berpendokok mahkota kuningan, berpakaian saribulan kayu barik.
Berluk lima, mengingat kami perihal banyaknya lima perkara yang diingatkan Nabi SAW dalam mengurus kehidupan… unduk-unduk pula… mengingat kami perihal makhluk laut yang wujud sepertinya ilusi tapi ianya nyata, pergerakannya yang menunduk perinya orang yang berilmu, semakin tunduk semakin berisi, mulianya ilmu, pemiliknya didoakan makhluk di langit dan di laut… makhluk yang setia dengan pasangannya… hingga yang jantan pula yang mengandung melahirkan anak… uniknya si unduk-unduk.
Asasnya Islam itu atas Lima perkara!
Riwayat Abdullah bin Umar رضي الله عنهما
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانِ.
“Rasulullah SAW bersabda: Islam dibina atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad ialah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, muttafaq ‘alaih).
Dari Abu Hurairah RA. Nabi SAW mengingat juga ada lima hak saudara Muslim yang perlu kita tunaikan,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ
“Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain ada lima.”
Lima perkara tersebut ialah:
رَدُّ السَّلَامِ — Menjawab salam.
عِيَادَةُ الْمَرِيضِ — Menziarahi orang sakit.
اتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ — Mengiringi jenazah.
إِجَابَةُ الدَّعْوَةِ — Memenuhi jemputan.
تَشْمِيتُ الْعَاطِسِ — Mendoakan orang yang bersin apabila dia mengucapkan Alhamdulillah, dengan menyebut Yarhamukallah.
(Sahih al-Bukhari no. 1240)
Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan merebut lima perkara sebelum datang lima perkara:
عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ الْأَوْدِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ لِرَجُلٍ وَهُوَ يَعِظُهُ:
اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ.
Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki ketika menasihatinya:
“Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain:
Masa mudamu sebelum datang masa tuamu.
Masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu.
Masa kayamu sebelum datang masa miskinmu.
Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu.
Masa hidupmu sebelum datang kematianmu.”
(Riwayat Imam al-Baihaqi — Syu‘ab al-Iman, no. 10250.)
Sehinggalah pengurusan diri Nabi SAW juga berpesan atas lima perkara juga, dari Abu Hurairah RA,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ: الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَقَصُّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَنَتْفُ الْإِبْطِ
“Lima perkara termasuk fitrah ialah berkhatan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”
(Sahih Muslim, no. 257b)
Perihal pentingnya dan mulianya ilmu dalam hidup, walaupun luas dan tingginya ilmu, kita tetap faqir…
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
“Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kerana reda terhadap penuntut ilmu. Sesungguhnya makhluk yang berada di langit dan di bumi, termasuk ikan di dalam air, memohon keampunan untuk orang yang berilmu.
Sesungguhnya kelebihan orang berilmu berbanding ahli ibadah adalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding seluruh bintang. Sesungguhnya para ulama ialah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu itu, sesungguhnya dia telah memperoleh bahagian yang sangat besar.”
(Sunan Abu Dawud, hadis no. 3641, Jami‘ al-Tirmizi, no. 2682, Sunan Ibn Majah, no. 223)
Abu al-Darda’ RA juga meriwayatkan… sehingga ikan-ikan dan makhluk di laut juga mendoakan orang yang berilmu…
إِنَّهُ لَيَسْتَغْفِرُ لِلْعَالِمِ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ، حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْبَحْرِ
“Sesungguhnya seluruh makhluk yang berada di langit dan di bumi memohon keampunan untuk orang yang berilmu, sehingga ikan-ikan di laut juga.”
(Sunan Ibn Majah, no. 239, Sunan Abu Dawud, no. 3641; Jami‘ al-Tirmizi, no. 2682)
Memaknakan falsafah kehidupan dalam sebilah keris, keris Malela berricikan unduk-unduk yang diselit di sisi pinggang, turut melambangkan perjuangan yang belum selesai untuk agama, bangsa dan tanah air.
Creator
Date
Relation
Hantaran ini berkaitan dengan falsafah keris Malela berricikan unduk-unduk sebagai lambang warisan seni Melayu, nilai Islam, kepentingan ilmu, adab dalam kehidupan