Program Wacana Semarak Patriotisme Siri Kedua : Apa Khabar Mahasiswa? Patriotisme Diperkasa
Title
Program Wacana Semarak Patriotisme Siri Kedua : Apa Khabar Mahasiswa? Patriotisme Diperkasa
Subject
Description
Alhamdulillah, petang ini berkesempatan menghadiri Program Wacana Semarak Patriotisme Siri Kedua: Apa Khabar Mahasiswa? Patriotisme Diperkasa di UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.
UiTM menyambut baik dan komited untuk menterjemahkan amanat YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui beberapa agenda penting yang menyentuh masa depan mahasiswa dan pendidikan tinggi negara.
Antaranya ialah memperkukuh kebebasan bersuara secara bertanggungjawab dengan menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan pandangan, idea kritis dan cadangan membina berlandaskan fakta, kematangan serta etika.
Kita juga bertekad meneruskan legasi UiTM sebagai pemangkin mobiliti sosial yang telah melahirkan lebih sejuta graduan, di samping memperkukuh peranan universiti dalam agenda TVET 2.0 bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing menjelang 2030.
Dalam mendepani teknologi masa hadapan, peruntukan RM500,000 bagi penubuhan Jabatan Teknologi Kuantum merupakan satu langkah strategik untuk memperluas kapasiti penyelidikan dan pengajaran UiTM dalam bidang teknologi baharu. Pada masa yang sama, inisiatif bantuan Care4U mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa agar tiada yang tercicir dalam mengejar cita-cita.
Sesungguhnya, patriotisme bukan sekadar semangat cintakan negara, tetapi turut dizahirkan melalui keberanian berfikir, kebebasan menyuarakan pandangan secara berhemah, kesediaan berbakti dan tanggungjawab membina masa depan bangsa.
Mahasiswa bukan sekadar pewaris kepimpinan negara, tetapi merupakan rakan strategik dalam mencorakkan masa depan Malaysia.
Insya-Allah, UiTM akan terus menjadi medan yang menyuburkan pemikiran kritis, membina jati diri patriotik dan melahirkan generasi profesional yang berilmu, berintegriti serta berdaya saing.